Rabu, 14 Ogos 2019

BANGUNAN BERSEJARAH DI KUCHING SARAWAK




ASTANA KUCHING
Astana merupakan sebuah istana yang terletak di KuchingSarawakMalaysia. Gedung istana ini terletak di utara tebing Sungai Sarawak, bersemuka dengan Kuching Waterfront. Astana kini merupakan kediaman rasmi bagi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, yang mewakili Sarawak dalam Majlis Raja-raja. Istana ini telah dibina pada tahun 1870 oleh Raja Putih Sarawak ke-2, Charles Brooke sebagai hadiah  perkahwinannya dengan isteri baginda Margaret Alice Lili de Windt. Istana ini pada kebiasaannya dibuka untuk lawatan umum oleh pelancong, dari pinggir Kuching Waterfront pengunjung dapat melihat dengan jelas taman dan bangunan Istana, gedung istana boleh dicapai dengan menaiki bot melintasi Sungai Sarawak.



KUBU MARGHERITA (FORT MARGHERITA)


Kubu Margherita di bina pada 1878 dan siap pada tahun 1879terletak di atas tebing Sungai Sarawak menghadap Pekan Kuching berhampiran kediaman Brooks. Tempat ini dikelilingi oleh Kampung Melayu. Kubu ini dinamakan 'Fort Margherita' bersempena nama isteri Charles Brook, Rajah kedua Sarawak iaitu Ranee Margaret. Dengan kedudukan yang strategik di atas bukit menghadap lencongan Sungai Sarawak, kubu ini berperanan sebagai tempat pertahanan utama Rajah Brooke yang menghadapi tentangan berterusan dari penduduk pribumi.
Kubu ini berbentuk bangunan segi empat dibina dari batu-bata berplaster. Kubu Margherita mempunyai 3 tingkat iaitu tingkat bawah berlantai tanah untuk kawalan dan bilik tahanan. Tingkat 1 dan 2 berlantai kayu belian untuk ruang kediaman tentera. Manakala bahagian bumbung merupakan tempat kawalan. Tangga putar (spiral staircase) daripada kayu belian dan bertiang besi terletak disatu penjuru menghubungkan setiap aras sehingga ke bumbung. Menara tangga ini lebih tinggi dari bumbung untuk pengawal meninjau jarak yang lebih jauh.
 Kubu ini pernah dijadikan sebagai pusat Renjer Sarawak pada tahun 1932. Pada asalnya iaitu sebelum tahun 1934 hanya terdapat bilik tahanan tetapi telah ditambah menjadi kubu. Kubu ini juga pernah dijadikan sebagai pengkalan bagi tentera Jepun pada tahun 1941. Memandangkan bangunan ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi, pada tahun 1971 kubu ini telah disenaraikan sebagai Bangunan Bersejarah Sarawak di bawah Antiquities Ordinance (Ordinan Warisan Bandaraya Sarawak, 1993).





KUCHING OLD COURTHOUSE
Bangunan ini dibina pada tahun 1883 oleh Sir Charles Brooke, Rajah Sarawak yang kedua. Bangunan ini dibina daripada kayu belian dan dihiasi dengan motif Sarawak. Tujuan pembinaan bangunan ini adalah sebagai pejabat-pejabat kerajaan dan satu tempat untuk upacara negeri. Kemudiannya, bangunan ini dijadikan sebagai bangunan mahkamah.

Di bahagian hadapan bangunan mahkamah lama ini terdapat sebuah monumen Rajah kedua Sarawak, Charles Brooke. Monumen setinggi 6 meter tinggi ini dibina pada tahun 1924. Terdapat panel 4 angka pada monumen ini yang mewakili masyarakat Sarawak – Cina, Dayak, Kayan dan Melayu.





SQUARE TOWER


Square Tower dibina sekitar tahun 1879 iaitu ketika Tuan Rajah Charles Brooke memerintah Sarawak Kingdom.


Fungsi utama Square Tower dibina pada asalnya adalah untuk menjadi salah satu daripada kubu pertahanan. Oleh kerana di Fort Margherita pada masa itu turut menjadi penjara bagi menempatkan pesalah-pesalah Sarawak,  maka Square Tower turut mempunyai fungsi yang sama iaitu sebagai penjara sementara bagi pesalah-pesalah sebelum diletakkan di Fort Margherita kemudiannya.

Apabila Tuan Rajah Ketiga iaitu Rajah Charles Vyner Brooke memerintah Sarawak dari tahun 1917 hingga 1946, fungsi untuk Square Tower turut bertukar. Dari hanya sebagai kubu pertahanan dan penjara sementara, bangunan ini telah dinaiktaraf menjadi dewan untuk bersosial bagi penjawat-penjawat awam Eropah dan golongan terbilang Sarawak berpesta seperti tari menari, menyaksikan persembahan teater atau muzikal atau mengadakan jamuan makan pada waktu-waktu tertentu. Dan pada akhir-akhir pemerintahan beliau, bangunan ini turut dijadikan sebagai asrama kediaman untuk pekerja-pekerja.


MUZIUM SARAWAK (BANGUNAN LAMA)

Muzium Sarawak (Bangunan Lama) didirikan pada tahun 1891 dan diperbesarkan seperti bentuk yang sedia ada dalam tahun 1911. Tujuan asal untuk membina bangunan ini adalah untuk menyimpan dan mempamerkan seni kraftangan masyarakat pribumi tempatan dan koleksi binatang tempatan seperti yang dicadangkan oleh Pakar Alam Semulajadi, Alfred Wallace, yang menjalankan kerja-kerja mengumpul spesimen-spesimen di negeri Sarawak pada masa tersebut.


 Sejak bangunan ini dibina, bangunan ini telah beberapa kali diubahsuai serta diperbaiki. Rekabentuknya yang membujur, 44' x 160', mempunyai dinding dan tiang yang diperbuat daripada batu bata dan beratapkan belian dan konkrit. Muzium ini dibina mengikut senibina Eropah dengan edifiknya mengikut stail Ratu Anne (Zaman Victoria). Galeri-galeri yang terdapat didalamnya diterangi melalui tingkap yang berbentuk kubah pada bumbung bangunan untuk memberi ruang dinding yang luas. 
Pada tingkat bawah muzium, tersimpan koleksi alam semulajadi dan spesimen fauna Sarawak, seperti reptilia, mamalia, burung dan lain-lain dipamerkan. Tingkat atas bangunan ini mempamerkan bahan-bahan etnografik seperti model rumah-rumah panjang yang pelbagai jenis, perangkap ikan dan haiwan, kraftangan, model perahu dan lain-lain.


MUZIUM TEKSTIL

Bangunan dengan seni bina Renaissance Inggeris ini pada asalnya merupakan Pusat Perubatan sebaik selesai pembinaannya pada tahun 1907. Kemudiannya, bangunan ini diambil alih untuk dijadikan Jabatan Pendidikan.
Namun sejak Ogos 2000, bangunan ini telah dijadikan sebagai Muzium Tekstil yang mempamerkan kepelbagaian busana tradisional dan tekstil hasil tenunan etnik-etnik yang terdapat di Sarawak. Bukan sekadar pameran yang biasa, pelancong juga dapat melihat bagaimana tekstil ini dihasilkan dari benang hinggalah siap sebagai sehelai kain.



RUMAH PANJANG ANNAH RAIS BIDAYUH

Sarawak amat terkenal dengan budaya yang pelbagai kaum seperti kaum Melayu, kaum Cina, kaum Iban, kaum Bidayuh dan lain-lain. Setiap kaum di Sarawak mempunyai ciri-ciri dan identiti yang tersendiri contohnya ada kaum yang hidup bermasyarakat di dalam satu rumah yang panjang. Kerajaan Sarawak masih mengekalkan identiti tradisional di kawasan-kawasan tertentu yang boleh kita lihat sehingga ke hari ini.

Rumah panjang adalah sebuah jenis rumah tradisional kaum Iban dan Bidayuh di Sarawak. Apa yang menarik di Rumah panjang adalah masyarakat sekampung tinggal di bawah satu rumah yang sama. Hanya bilik yang akan memisahkan mereka. Mereka juga hidup seperti keluarga dan mempunyai jadual untuk melakukan kerja seharian mereka.

Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh yang terletak berhampiran sempadan Sarawak-Kalimantan Indonesia di Padawan, adalah antara rumah panjang masyarakat Bidayuh yang masih bertahan dengan penghuninya terus mengamalkan budaya dan tradisi zaman dahulu.Anda semua boleh melihat rumah ini dengan lebih dekat kerana kawasan rumah ini dibuka untuk menjadikan tarikan pelancong di Sarawak. Dan terbukti, ramai pelancong yang berkunjung ke Malaysia hanya untuk melihat Rumah Panjang.